Tumpuan :
Nasional

116 PATI ditahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen

FOTO: JIM Negeri Sembilan

PORT DICKSON: Jabatan Imigresen menggempur dua premis membabitkan tapak pembinaan di sini dan kilang bata di Kuala Pilah, sebelum menahan 116 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) atas pelbagai kesalahan.

Pengarah imigresen negeri, Kennith Tan Ai Kiang berkata, operasi membabitkan kerjasama pihaknya dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

FOTO: JIM Negeri Sembilan

“Hasil operasi, 180 diperiksa membabitkan pelbagai warganegara dan daripada jumlah itu, 116 ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka membabitkan sembilan warga Pakistan, 15 Indonesia, lima warga India, dua Myanmar, 74 Bangladesh dan 11 warga China,” katanya melalui kenyataan.

FOTO: JIM Negeri Sembilan

Mengulas lanjut, Kennith berkata ketika serbuan ada warga asing cuba melarikan diri dengan seorang dari mereka nekad terjun dari siling kerangka tapak bangunan pembinaan, namun tidak mengalami kecederaan.

“Ada yang bersembunyi di celahan dinding konkrit bangunan pembinaan sempit bagi mengelak dicekup,” katanya.

Semua PATI ditahan dihantar ke Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini