PUTRAJAYA: Bilangan tempat terhad bagi sesetengah program yang ditawarkan Universiti Awam (UA) negara menyebabkan pelajar yang mahu meneruskan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) tempatan terpaksa berdepan persaingan sengit dalam untuk mendapatkan tempat.
Tahun ini permohonan menerusi UPUOnline adalah sebanyak 115,477 calon untuk memasuki UA tahun ini yang mana seramai 90,745 calon melepasi syarat am.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Husaini Omar, berkata daripada jumlah yang melepasi syarat am itu, hanya 71,615 calon mendapat penempatan di 20 UA.
Katanya, ada juga pelajar yang tidak memenuhi syarat khas yang ditetapkan universiti pilihan atau kursus dipohon, gagal dalam sesi temuduga bagi kursus tertentu selain kedudukan merit rendah.
Beliau berkata, selain itu ada antara pelajar tidak mengisi sepenuhnya 12 pilihan yang disediakan dalam borang Unit Pusat Universiti (UPU) menyebabkan mereka gagal mendapat tempat di universiti jika tidak terpilih mengikuti kursus utama yang dipohon.
“Tempat di UA adalah terhad manakala persaingan untuk mendapatkan tempat adalah terlalu tinggi. Ia sesuatu yang baik kerana menunjukkan bakat yang memohon untuk memasuki UA adalah yang terbaik seterusnya membolehkan graduan yang dihasilkan yang terbaik.
“Bagi program kompetitif dan menerima banyak permohonan peluang untuk mendapat tempat adalah tipis.
“Begitu juga jika merit rendah dan memohon program kompetitif, pemohon juga sukar untuk mendapatkan tempat,” katanya pada sidang media khas mengenai UPUOnline, di sini, hari ini.
Ketika ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyenaraikan 10 kursus sebagai pengajian kompetitif iaitu Perubatan, Pergigian, Farmasi, Perakaunan, Undang-undang, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Elektrikal, Kejuruteraan Elektronik, Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Awam. – BERITA HARIAN