![](https://media.buletintv3.my/2023/04/4GL4gmtm-pp-cms-17.jpg)
Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
SEPANG: Kira-kira 11,544 jumlah penerbangan dijangka melakukan perjalanan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 sepanjang musim puncak perayaan Aidilfitri bagi tempoh 12 hari iaitu dari 18 April sehingga 30 April ini.
Pengurus Kanan Bahagian Operasi KLIA Terminal 1, Amirudin Rahmat berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 321 adalah penerbangan tambahan yang telah diwujudkan bagi menampung permintaan perjalanan udara pada musim ini.
![](https://media.buletintv3.my/2023/04/mTNArR1y-pp-cms-18.jpg)
Menurutnya, sejumlah 920 jumlah penerbangan bakal melakukan perjalanan udara hari ini iaitu 481 dan 439 penerbangan masing-masing di Terminal 1 serta Terminal 2.
“Sepanjang tempoh puncak perayaan itu juga, sebanyak 1,029 termasuk 131 jumlah penerbangan tambahan dijangka dilakukan menuju dan daripada destinasi Sabah dan Sarawak.”
![](https://media.buletintv3.my/2023/04/N8UWr0ea-pp-cms-19.jpg)
![](https://media.buletintv3.my/2023/04/sQnHEEfV-pp-cms-20.jpg)
“Jumlah keseluruhan penerbangan ke Sabah adalah 505 penerbangan iaitu 425 penerbangan asal dan sebanyak 80 penerbangan tambahan. Manakala, jumlah keseluruhan penerbangan ke Sarawak adalah 524 penerbangan iaitu 473 penerbangan asal dan tambahan sebanyak 51 penerbangan,” katanya yang ditemui di KLIA Terminal 1 di sini.
Beliau berkata, demi memastikan keselesaan dan kelancaran pengurusan penumpang berada di tahap optimum, kakitangan operasi Malaysia Airports di KLIA akan bertugas dengan kapasiti penuh bagi setiap syif termasuk daripada kalangan Airport CARE Ambassador (ACA), Aviation Security (AVSEC) serta pengurusan terminal.
Amirudin berkata, pihaknya juga telah merangka pelan kontigensi yang akan diaktifkan sekiranya perlu.
“Kami menasihatkan penumpang untuk datang ke lapangan terbang empat jam sebelum waktu penerbangan seperti disaran oleh syarikat penerbangan serta memeriksa dan melengkapkan dokumen perjalanan bagi mengelakkan sebarang kelewatan dan kesulitan.”
“Penumpang digalakkan menggunakan fasiliti automatik seperti EzPaz bagi urusan pendaftaran masuk. Untuk penumpang domestik di Terminal 1, mereka boleh menggunakan EzBagz di sekitar kaunter daftar masuk ‘B’ untuk pengendalian bagasi,” katanya yang turut menyarankan penumpang menggunakan aplikasi MYAirports bagi memeriksa waktu perjalanan, tawaran komersial atau memberi maklum balas kepada Malaysia Airports.