comscore
Tumpuan :
Nasional

1,145 pasang kasut jenama Vern’s dirampas, syarikat kasut dipanggil

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid (kiri) mengetuai pemantauan terhadap premis yang didakwa menjual kasut menggunakan logo mirip kalimah Allah di pusat membeli belah di Johor, semalam. – Foto: Mohd Fared Mohd Khalid / Facebook

KUALA LUMPUR: Sejumlah 1,145 pasang kasut jenama Vern’s telah dirampas bagi membantu siasatan berkaitan logo kasut didakwa mirip kalimah Allah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata rampasan kasut terbabit dilakukan di Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman akan berurusan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam siasatan itu.

“Kita akan bekerjasama untuk melihat adakah model (logo) itu mengikut reka bentuk kasut atau melambangkan tulisan khat (kalimah Allah),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mohd Azaman Ahmad Sapri, kepada Timbalannya, Datuk Nasri Omar yang akan memangku jawatan itu, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, hari ini.

Semalam, tular dalam laman sosial berhubung kes tulisan didakwa menyerupai kalimah Allah pada tapak kasut wanita.

Pengurusan Vern’s Holding Sdn Bhd kemudian dilaporkan memohon maaf berhubung logo kasut tumit tinggi keluarannya, yang pada pandangan mereka disalah tafsir sehingga menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.

Mengulas lanjut, Razarudin menjelaskan, laporan oleh pihak JAKIM adalah penting dalam siasatan berkenaan.

Beliau berkata, polis juga akan memanggil penjual, pengusaha dan pengeluar jenama kasut terbabit bagi membantu siasatan itu.

“Setakat petang semalam, lapan laporan polis sudah dibuat oleh masyarakat berhubung isu ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini