![](https://media.buletintv3.my/2025/02/BULETIN-TV3-2.jpg)
BUKIT MERTAJAM: Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak menahan 11 warga asing dalam serbuan di sebuah kilang pemprosesan bahan buangan terjadual sisa elektronik (e-waste) secara haram yang terletak dalam kawasan ladang kelapa sawit di Machang Bubok di sini, semalam.
Serbuan pada jam 7.30 malam itu dilakukan dengan kerjasama pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang berdasarkan hasil maklumat dan risikan yang diperoleh sejak dua minggu lalu.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, hasil pemeriksaan ke atas premis itu menemui pelbagai barangan e-waste yang dihancurkan dalam lebih 48 beg bersaiz jumbo serta mesin pemprosesan bernilai hampir RM21.83 juta.
“Ketika serbuan, terdapat 11 warga asing terdiri daripada seorang wanita warga China yang berperanan sebagai pengurus kilang, seorang lelaki Bangladesh, tiga lelaki dan enam wanita warga Myanmar yang berperanan sebagai pekerja berusia lingkungan 30 hingga 40-an.
“Siasatan awal mendapati kilang itu mula beroperasi sejak 2016 untuk memproses barang kitar semula plastik secara sah sehingga 2022.
“Bagaimanapun, pemilik kilang yang juga warga tempatan dipercayai menyewakan premisnya kepada warga China itu sebelum berlakunya aktiviti memproses barangan terjadual secara haram dekat situ,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Menurutnya, kesemua tangkapan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan selanjutnya.
“Kesemua pekerja warga asing ini dapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen apabila memasuki negara ini tanpa mempunyai pas perjalanan yang sah.
“Berdasarkan semakan yang dibuat terhadap pengurus wanita warga China itu pula, dia masuk ke negara ini menggunakan visa pelancong dan dipercayai mula bekerja di kilang ini sejak Januari tahun lalu,” katanya.
Mengulas lanjut, Shahrum berkata, kilang itu didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling serta Akta Kerajaan Tempatan 1976 Undang-Undang Kecil Pelesenan Premis, Tred, Perniagaan dan Perindustrian.
“Ketika pemeriksaan didapati sisa-sisa buangan berterabur dan ia amat membahayakan, terutamanya ketika hujan.
“Ini kerana air akan mengalir ke kawasan sekitar yang ia boleh menjejaskan kualiti air serta persekitaran kawasan kilang ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JAS Pulau Pinang Norazizi Adinan berkata, pihaknya sudah melakukan sitaan terhadap 48 beg jumbo yang mengandungi e-waste berkenaan.
“Pada masa sama, kita sudah menghantar sampel ke Jabatan Kimia bagi mendapatkan komposisi buangan.
“Ini selepas dipercayai bahan buangan itu disyaki dikategorikan sebagai buangan terjadual SW110-E-Waste dan SW104 iaitu debu atau dros yang mengandungi logam berat,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.