Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: 11 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Sihanoukville, Kemboja dihantar pulang ke tanah air secara berperingkat.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, usaha membawa pulang itu dijayakan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh dengan kerjasama pihak berkuasa Kemboja.
“Seorang daripada mereka telah pulang ke Malaysia pada 25 Oktober lalu manakala baki 10 orang lagi dijadual tiba di Malaysia pada hari ini (1 November),” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, Wisma Putra menzahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa Kemboja yang berkenaan atas kerjasama dan bantuan mereka dalam menyelamatkan dan memudahkan kepulangan mangsa ke Malaysia.
Tambah kenyataan itu, Wisma Putra akan terus meningkatkan usaha untuk menangani isu rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.
“Kementerian ini sekali lagi ingin mengingatkan warganegara Malaysia yang berminat mencari pekerjaan di luar negara agar berhati-hati dan memastikan kesahihan pekerjaan yang ditawarkan.
“Rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk mematuhi undang-undang dan peraturan Imigresen semasa berada di luar negara,” menurut kenyataan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.