Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 11 pengawal keselamatan ditahan bersama 11 pump gun – KP Selangor

SHAH ALAM: Polis Selangor menahan seramai 11 pengawal keselamatan bersama 11 pump gun di rumah masing-masing dalam 11 serbuan di sekitar Sabak Bernam dan Kuala Selangor, pada Selasa dan Rabu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata kesemua pengawal keselamatan itu bertugas di beberapa buah bank di kawasan berkenaan dan bernaung di sebuah syarikat keselamatan di Kuala Lumpur.

Kesemua pengawal keselamatan terbabit adalah warga tempatan dan berusia lingkungan 25 hingga 53 tahun.

Menurut Hussein selain 11 laras pump gun, pihaknya turut merampas 55 butir peluru 12 Bore serta sebuah kereta.

“Soal siasat ke atas OKT mendapati mereka diarahkan oleh syarikat untuk menyimpan senjata api di rumah selepas tamat waktu kerja dan kejadian ini berlanjutan selama kira-kira dua tahun kerana syarikat ini dilesenkan di Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Foto fail pengawal keselamatan.

Katanya, siasatan awal mendapati OKT membawa senjata api balik ke rumah menggunakan motosikal dengan cara tidak selamat seperti menggalas senjata api itu.

Tambahnya, semasa serbuan dijalankan, semua orang kena tangkap (OKT) selesai tugas masing-masing dan menyimpan senjata api di rumah masing-masing seperti di bawah katil, di tepi dan di dalam almari serta di dalam kereta.

Mengulas lanjut Hussein berkata, syarikat itu juga didapati melakukan lima kesalahan sebelum ini sejak tahun 2015.

Antara 11 pump gun dan peluru yang dirampas polis Selangor.

Beliau berkata syarikat keselamatan tidak boleh mengambil mudah mengenai aspek keselamatan senjata api seperti tidak membuka cawangan di kawasan tempat bertugas, tidak membina bilik kebal senjata api hanya semata-mata demi menjimatkan kos.

“Polis mengingatkan syarikat keselamatan yang memiliki atau mempunyai lesen senjata api supaya mematuhi peraturan lesen yang sudah dikeluarkan. Kegagalan mematuhi peraturan itu, (boleh menjurus kepada) penyalahgunaan senjata api seperti kejadian samun bersenjata api, melakukan pemerasan, perselisihan faham, senjata api ini dan sebagainya,” ujarnya.

Jelasnya, syarikat keselamatan itu juga boleh diambil tindakan sehingga dibatalkan lesen senjata api berkenaan.

Sementara itu katanya, kesemua OKT terbabit disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Senjata Api 1960 kerana melanggar syarat lesen yang mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini