Tumpuan :
Nasional

11 mengaku jadi keldai akaun along

Antara tertuduh yang hadir ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan gagal mengemukakan alasan munasabah kemasukan wang bayaran hutang along ke akaun mereka. Foto Ahmad Hasbi NSTP.

SEREMBAN: Seramai 11 individu dijatuhi hukuman denda RM800 hingga RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas kesalahan membenarkan akaun bank mereka digunakan bagi kemasukan wang bayaran hutang along.

Keputusan dibuat oleh Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Kesemua tertuduh Ong Le Yang, 20; Kong Kai Wei, 21; Muhammad Adam Abdul Latif, 27; Muhammad Irwan Othman, 38; Nor Arfina Arifin, 38; Jee Kah Rock, 21; Ng Woei Yuan, 37; Saiful Hamizi Abdul Hamid, 36; Nurul Aishah Hasbollah, 26; Wan Halipah Wan Ali, 60 dan Low Jey Yong, 32 mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan pilihan, semua tertuduh didapati gagal mengemukakan alasan yang munasabah mengenai kemasukan wang dalam jumlah yang berbeza ke akaun bank milik masing-masing.

Kesalahan dilakukan di lokasi berbeza di daerah Seremban dari Ogos 2022 hingga Februari lalu.

Kesemua tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM800 kepada Muhammad Adam, Muhammad Irwan, Nor Arfina, Wan Halipah dan Jey Yong dan jika gagal bayar boleh dipenjara selama lapan hari.

Manakala Le Yang, Kai Wei, Kah Rock, Woei Yuan, Saiful Hamizi dan Nurul Aishah dijatuhkan hukuman denda RM1,000 seorang, jika gagal bayar boleh dipenjara selama tempoh 10 hari.

Seorang lagi tertuduh, Tang Cheng Jie, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membantu menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan membenarkan akaunnya digunakan untuk urusan kemasukan bayaran hutang sebanyak RM5,000.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 29AA(1) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Cheng Jie dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2,000 dan sebutan semula kes pada 10 Julai depan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi.

Loading...
Terkini