comscore
Tumpuan :
Nasional

11 lelaki ditahan ekoran video tular gaduh 

Foto hiasan

MIRI: Seramai 11 lelaki tempatan berumur dalam lingkungan 19 hingga 40 tahun ditahan untuk tujuan siasatan berkaitan video dan gambar viral insiden pergaduhan di Vista Perdana Permyjaya di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, ekoran daripada pergaduhan yang berlaku, pada 12.15 tengah malam itu, mangsa telah melarikan diri dan dikejar oleh sekumpulan lelaki yang merupakan rakan kongsi perniagaan mangsa.

Menurutnya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Miri telah bergegas ke tempat kejadian dan menangkap kesemua individu yang terlibat secara langsung dalam insiden pergaduhan itu.

“Pergaduhan tersebut turut dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian dan tular di media sosial manakala terdapat juga spekulasi yang disebarkan bahawa kejadian tembak menembak turut berlaku dalam insiden pergaduhan itu.

“IPD Miri menafikan dakwaan tersebut dan ingin menegaskan bahawa tiada sebarang insiden tembak menembak berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pihak polis menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan rakaman pergaduhan tersebut kerana ianya akan mengundang kegusaran kepada masyarakat.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta benda.

“Permohonan reman telah dibuat di Mahkamah Majistret pada hari ini dan pihak mahkamah telah meluluskan reman selama sehari sahaja ke atas semua suspek yang ditangkap,” ujarnya.

Beliau berkata, mana-mana individu yang didapati menularkan video dan gambar pergaduhan tersebut akan diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Loading...
Terkini