BATU PAHAT: “Ingatkan ribut ke apa…saya pandang melalui cermin belakang dan lihat bas. Kemudiannya, dentuman kuat kedengaran dan beberapa kenderaan kelihatan seperti rojak selepas dirempuhnya.”
Demikian cerita Suherman Saim, susulan sebuah bas Kolej Vokasional Batu Pahat merempuh 11 buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tan Swee Hoe, Jalan Kluang dekat sebuah hospital swasta di sini, pagi tadi.
@buletintv3Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, tiada kecederaan parah dilaporkan dalam nahas jam 10.30 pagi itu.♬ Minimal for news / news suspense(1169746) – Hiraoka Kotaro
Suherman, 40, pemandu lori yang juga antara mangsa kemalangan itu berkata kejadian berlaku sekitar jam 10.20 pagi.
Menurutnya, dia ketika itu memandu lori satu tan dan dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Parit Raja.
Jelasnya, sebelum kejadian, keadaan tenang dan dia yang memandu lori membawa papan tanda, berada di lorong kiri bersama beberapa kenderaan lain memandangkan lampu isyarat masih merah.
Katanya, sebaik merasai gegaran seperti ribut itu dia segera memandang melalui cermin belakang dan melihat beberapa kenderaan kelihatan seperti ‘rojak’ selepas dirempuh bas itu.
“Ketika itu, saya sempat elak ke tepi jalan namun belakang lori pula dirempuh kenderaan lain yang turut terbabit dalam kemalangan itu.
Katanya lagi, dia masih dapat merasai gegaran akibat rempuhan itu walaupun lori dipandunya tidak mengalami kerosakan seteruk kenderaan lain.
Dalam pada itu, pemandu bas yang enggan dikenali ketika ditemui berkata dia sudah menekan brek bas sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat terbabit.
Tapi malangnya, disebabkan brek bas mengalami kerosakan, kenderaan dipandu lelaki berusia 50-an itu meluncur dan merempuh beberapa buah kenderaan lain.
“Bas ini dah berusia 26 tahun, ada kalanya dihantar untuk selenggara. Sebelum ini, bas ini kerap alami kerosakan walaupun diselenggara,” katanya.
Kemalangan itu menyebabkan kesesakan teruk di sepanjang Jalan Kluang dari kedua-dua arah.
Pada masa sama, kenderaan menghala ke bandar dari Jalan Bintang dan kawasan berhampiran dilencong ke Jalan Tan Swee Hoe.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 10.30 pagi.
Beliau berkata, kemalangan membabitkan 12 kenderaan iaitu bas, dua buah lori dan sembilan kereta.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan sebuah bas dari arah bandar Batu Pahat menghala ke Jalan Kluang, hilang kawalan dipercayai akibat kegagalan brek,” katanya.
Tiada kecederaan parah dilaporkan.
Siasatan lanjut masih dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.