KOTA BHARU: 11 individu ditahan sepanjang larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram dilaksanakan bermula 1 Disember lalu.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, tangkapan itu meliputi lima penduduk tempatan dan enam warga asing, termasuk tiga warga India.
Katanya, kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 jika sabit kesalahan.
“Kita kesan kesemua suspek ini menggunakan pangkalan haram di sekitar Rantau Panjang untuk keluar masuk Kelantan-Thailand.
“Tangkapan ini dilakukan dalam tempoh lebih dua minggu dengan tangkapan terbaru kelmarin membabitkan tiga lelaki termasuk pengemudi bot.
“Penguatkuasaan di sempadan sentiasa dipertingkatkan dan PGA mengingatkan orang ramai supaya menggunakan laluan sah untuk keluar masuk Malaysia-Thailand,” katanya ketika dihubungi.
Media sebelum ini melaporkan, polis Kelantan akan menahan sesiapa yang menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan negara dan Thailand di sepanjang Sungai Golok, berkuat kuasa 1 Disember.
Mereka yang melakukan kesalahan itu akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.