Tumpuan :
Nasional

11.2 tan sampah kitar semula dikumpul di Langkawi

Foto hiasan

LANGKAWI: Sebanyak 11.2 tan sampah kitar semula dikumpulkan di Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (PKSPL) di Pasar Awam Kelibang di sini, sepanjang November lalu.

Pegawai Daerah Langkawi, Datuk Abdul Gafar Yahya, berkata kutipan sebanyak itu menunjukkan orang ramai mulai sedar mengenai kepentingan pengasingan sisa.

“Langkah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan syarikat Environment Idaman (E-idaman) membuka PKSPL patut dipuji.

“Ia menyelesaikan masalah lambakan sampah di pulau ini, selain orang ramai boleh memperoleh pendapatan sampingan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan PKSPL di Pasar Awam Kelibang di sini, hari ini.

Abdul Gafar berkata, selepas sebulan beroperasi, PKSPL di Pasar Awam Kelibang telah mengumpul 11.2 tan sampah kitar semula dengan purata 300 kilogram sehari.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Ismail Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman, Zaki Abdul Aziz Daud.

Mengulas lanjut Zaki Abdul Aziz berkata, pembukaan PKSPL turut memperluaskan penggunaan aplikasi ‘idamanXchange’ yang dibangunkan pihaknya setahun lalu.

“Sampah kitar semula itu boleh ditukarkan kepada wang dalam aplikasi, malah menerusi jalinan kerjasama dengan aplikasi e-wallet Boost dan Touch ‘n Go pengguna boleh menebus ganjaran di mana sahaja.

“Jadi, dengan adanya PKSPL, orang ramai dipelawa datang sendiri membawa sampah untuk ditukarkan dengan wang tunai, mereka bukan lagi hanya menunggu lori sampah datang ke rumah seperti sebelum ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini