KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus berkurangan kepada seramai 10,870 mangsa daripada 2,732 keluarga ditempatkan di 41 pusat pemindahan sementara (PPS).
Setakat jam 4 petang tadi, enam daerah kecuali Besut dan Kemaman masih terjejas akibat bencana banjir.
Ia menyaksikan jumlah mereka yang terjejas menurun berbanding 14,294 mangsa daripada 3,580 keluarga berlindung di 59 PPS di tujuh daerah kecuali Besut pagi tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Kemaman menjadi daerah terbaharu pulih daripada banjir selepas penutupan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Kerteh jam 2 petang tadi selepas13 mangsa daripada empat keluarga yang berlindung di PPS berkenaan dibenarkan pulang.
Kuala Nerus masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 6,236 mangsa (1,635 keluarga) di 15 PPS diikuti Dungun yang mencatatkan seramai 2,592 mangsa (598 keluarga) di 16 PPS.
Lima PPS dibuka di Kuala Terengganu bagi menempatkan 1,846 mangsa daripada 448 keluarga manakala diHulu Terengganu, seramai 33 mangsa (12 keluarga) berlindung di PPS SK Tanggol.
Di Marang, seramai 62 mangsa daripada 20 keluarga yang terjejas berada di PPS Dewan Sivik Merchang manakala di Setiu, seramai 101 mangsa (19 keluarga berada di tiga PPS di daerah berkenaan.
Secara keseluruhan, semua daerah menunjukkan penurunan mangsa berikutan keadaan cuaca yang semakin baik.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.