Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Isu teknikal seperti lokasi premis, kemudahan dan aspek keselamatan antara syarat yang gagal ditepati pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) dalam memperoleh kelulusan pengoperasian daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Setakat Disember tahun lalu, sebanyak 1,080 TASKA tidak berdaftar dan beroperasi secara tidak sah di seluruh negara.
Menyifatkan angka itu membimbangkan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya telah berbincang dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memudah cara mempercepatkan kelulusan berkenaan tanpa berkompromi soal keselamatan kanak-kanak.
“Dari segi premis itu sendiri, di mana ia? Kalau tinggi sangat (tidak sesuai). Itu dari sudut teknikal, bimbang kanak-kanak itu terkeluar dari pintu rumah, dia pergi berjalan keluar turun tangga atau masuk lif, itu antara syarat teknikal yang mereka (PBT) lihat.
“Saya kebetulan pernah bekerja di PBT dulu, saya tahu juga ini di antara isu keselamatan (perlu dipenuhi). Kalau ada tempat (TASKA) di rumah hujung, ‘corner lot’, orang kata lagi bagus, tetapi kalau jarak terlalu dekat dengan jalan raya, itu juga perlu kita lihat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan 2023 di sini hari ini.
Ujarnya, adalah tidak adil mendakwa syarat ditentukan PBT itu menyukarkan pengusaha premis kerana ia mengambil kira keperluan keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan kanak-kanak tersebut.
Terdahulu dalam ucapannya, Nancy berkata, beliau sering mendapat rungutan daripada pengusaha yang mahu beroperasi secara sah dan berdaftar tetapi menghadapi kerenah birokrasi membabitkan isu teknikal di pihak PBT.
“Kita tahu ini adalah kuasa PBT tetapi saya rasa ini boleh ditambah baik sebagai contoh, sekiranya semua PBT mempunyai budi bicara dan peraturan yang selaras,” katanya.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, libat urus akan diadakan mengikut zon di seluruh negara bagi membincangkan perkara berkenaan yang membabitkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, PBT dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kami di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meluluskan pendaftaran cuma 30 hari, tetapi sebelum kita dapat mendaftar (TASKA), dia perlu memenuhi syarat PBT, itu menjadi cabaran dan kekangan.
“Sebab itu kami menyarankan yang belum berdaftar dan kalau mereka dah melalui proses (pendaftaran PBT), bagus juga untuk mereka hantar salinan pendaftaran itu kepada kita supaya kita dapat tahu nak memantau mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy berkata, satu pangkalan data yang mengumpulkan senarai pengasuh berdaftar akan dibangunkan oleh kementerian bagi membantu ibu bapa memilih TASKA dan pengasuh yang berdaftar untuk anak mereka.
Untuk rekod, sebanyak 3,005 TASKA berdaftar seluruh negara sehingga April lalu.