comscore
Tumpuan :
Nasional

108 ahli GISBH ditahan JAIS mungkin perlu jalani pemulihan akidah

Antara individu dikaitkan GISBH yang ditahan susulan Op Global di Selangor. – Foto Fail NSTP

SHAH ALAM: Sejumlah 108 individu ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas dikaitkan dengan GISB Holdings (GISBH) mungkin perlu menjalani proses pemulihan akidah sebagai sebahagian hukuman.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata tindakan sedemikian diambil selaras keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang memutuskan GISBH serta rangkaiannya menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

“Semua yang ditahan sudah dijamin, jadi ada kemungkinan pemulihan akidah itu adalah sebahagian daripada hukuman selepas fatwa itu diwartakan kelak.

“Sebab kalau kita nak pulihkan akidah ia melibatkan kerelaan individu terbabit, tetapi bagi mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas, kita kena ada asas untuk berbuat demikian seperti fatwa yang memutuskan mereka perlu dipulihkan, barulah mereka lalui proses tersebut,” katanya.

JAIS sebelum ini dilaporkan menahan 108 individu berkaitan GISBH kerana disyaki terbabit pelbagai kesalahan jenayah syariah merangkumi soal akidah, pungutan khairat tanpa kebenaran dan perkahwinan.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan fatwa terkini diputuskan Jawatankuasa Fatwa Selangor bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.

Selangor Royal Office dalam kenyataan menerusi Facebook memaklumkan ini kerana pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISB diyakini masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau Zikir Agung, dibawa oleh Kumpulan Darul Arqam yang diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam sebenar menurut Warta No 54 yang disiarkan pada 4 Februari 1993.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini