KUALA LUMPUR: Dalam tempoh tiga hari sahaja, pemberian baucar buku yang bermula 31 Mei lalu sudah ditebus lebih 100,000 pelajar di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata penebusan baucar buku itu membabitkan 56,466 di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) dan 50,000 di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Jumlah buku yang terjual hasil penebusan baucar itu ialah sebanyak 122,759 dengan nilai keseluruhan RM614,617.
“Baucar ini menjadi pemangkin minat membaca yang memberi manfaat kepada anak-anak,” katanya kepdaa pemberita hari ini.
Terdahulu, Fadhlina merasmikan penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 ke-41, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut Fadhlina, sebanyak tiga kategori tertinggi buku yang dibeli menggunakan baucar membabitkan pendidikan sebanyak 1,822, buku akademik (1,774) dan umum (1,625).
Tempoh penebusan baucar adalah sehingga 31 Disember ini.
Pengumuman pemberian baucar buku bernilai RM100 bagi pelajar tahap dua sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke peringkat IPT dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan PBAKL 2024, Khamis lalu.
Baucar buku itu boleh ditebus murid atau pelajar menggunakan aplikasi DELIMa dan Kota Buku Digital.
Pada masa sama Fadhlina berkata baucar buku disalurkan secara digital menerusi aplikasi DELIMa dan Kota Buku Digital atas dasar ketelusan penyaluran dan penggunaan.
Beliau berkata ia juga bagi menangani ketirisan dan sebarang kelemahan baucar fizikal.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.