Tumpuan :
Nasional

1,044,595 peminjam PTPTN selesai membayar balik pinjaman

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Seramai 1,044,595 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selesai membuat bayaran balik pinjaman mereka setakat sehingga 31 Disember 2024.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, jumlah itu adalah daripada 2,831,742 peminjam yang sepatutnya membuat bayaran semula pinjaman mereka.

“Secara terperinci, seramai 1,044,595 peminjam telah selesai membayar balik pinjaman mereka”

Manakala, 585,638 pula peminjam sedang membuat bayaran balik secara konsisten dan tiada tunggakan bayaran”

Beliau berkata demikian ketika sesi jawab lisan di Dewan Negara.

Mengulas lanjut, Mustapha memaklumkan, seramai 817,872 peminjam pula membuat bayaran balik secara tidak konsisten dan mempunyai tunggakan bayaran balik, manakala 383,637 peminjam tidak pernah membuat bayaran balik pinjaman mereka.

Secara keseluruhannya, seramai 86.45% peminjam telah pun mula membayar balik pinjaman mereka walaupun dengan tunggakan dan hanya 13.55% peminjam sahaja yang belum pernah membayar balik pinjaman.

Beliau turut berkata, kepada peminjam-peminjam terutama dari golongan B40 yang mengalami kesukaran untuk melakukan bayaran semula, mereka dinasihatkan berbincang bersama PTPTN untuk pelaksanaan penstrukturan bayaran pinjaman.

“Kami membuka ruang sebaik mungkin kepada mereka ini untuk berbincang, sekiranya tidak mampu, tidak akan dikenakan apa-apa tindakan, cuma bincang”

“Jangan tidak bayar terus, banyak juga maklumat kami terima, memang mampu, tapi tidak bayar, itu menjadi masalah”

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini