comscore
Tumpuan :
Nasional

104 unit ventilator gagal berfungsi, 8.5 juta dos vaksin luput

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sebanyak 104 unit ventilator gagal berfungsi ketika negara berdepan pandemik COVID-19 yang turut menyaksikan 8.5 juta dos vaksin bernilai RM505 juta luput tempoh hayat setakat 15 Jun lalu.

Bagaimanapun hasil prosiding mendapati tiada pihak boleh dipertanggungjawabkan atas kegagalan itu memandangkan tiada perjanjian bertulis dimeterai di antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan syarikat pembekal, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB).

Laporan ‘Pengurusan Wabak COVID-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE)’, dibentang hari ini, menyatakan PLSB diarah membuat pembayaran pendahuluan bagi mendapatkan ventilator.

Arahan itu dibuat walaupun syarikat berkenaan tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam perolehan peralatan perubatan seperti ventilator.

“Perbincangan, penilaian dan keputusan berhubung perolehan ventilator terpaksa dilaksanakan di luar kebiasaan, iaitu melalui aplikasi Whatsapp disebabkan kekangan semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan faktor kesegeraan serta keterdesakan situasi ketika itu.

“Ketiadaan perjanjian bertulis di antara KKM dan PLSB menyebabkan tiada mana-mana pihak yang boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi,” menurut laporan itu.

Laporan setebal 120 muka surat itu juga mendapati KKM terpaksa mendapatkan bekalan alat itu dari China, namun selepas ventilator berkenaan tiba, ia tidak melepasi terma dan syarat walaupun semakan spesifikasi dilakukan oleh pakar kementerian itu terlebih dahulu berdasarkan brosur dibekalkan.

Selain itu, PAC mendapati tiada kontrak digubal mengenai perolehan ventilator dan penasihat undang-undang KKM tidak dirujuk ketika proses penyediaan surat pelantikan.

Mengenai vaksin COVID-19, laporan PAC mendedahkan sejumlah 8.5 juta dos vaksin COVID-19 yang bernilai RM505 juta sudah luput tempoh hayat setakat 15 Jun lalu dengan puncanya kerana sambutan yang rendah.

Loading...
Terkini