KUALA LUMPUR: Sebanyak 103 kertas siasatan dibuka membabitkan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) sejak Op Global dilancarkan pada 11 September lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, daripada jumlah itu, 98 kertas siasatan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) termasuk satu kertas siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, manakala selebihnya mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) serta pelbagai kesalahan lain.
“Sebanyak 63 kertas siasatan selesai, yang mana 22 daripadanya sudah dituduh, manakala 41 kes diklasifikasikan tiada tindakan lanjut oleh timbalan pendakwa raya (TPR).
“Baki 40 kertas siasatan lagi belum selesai yang mana ia masih dalam tindakan pegawai penyiasat dan TPR,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, sepanjang Op Global dijalankan, 416 individu ditahan membabitkan 189 lelaki dan 227 wanita, dengan sebahagian besar berusia 18 tahun ke atas.
Daripada jumlah itu, katanya, 43 individu dituduh atas pelbagai kesalahan termasuk 22 orang yang dituduh mengikut Seksyen 130 Kanun Keseksaan, manakala 168 orang diberikan jaminan polis dan 201 orang bebas tanpa syarat.
Tambahnya, dua individu diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tujuan pengusiran dan dua lagi diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kedah.
“Pihak polis masih meneruskan risikan dan siasatan, manakala tangkapan akan dibuat sekiranya terdapat aduan serta maklumat boleh dipercayai atau syak munasabah yang diterima atau terkesan oleh polis,” katanya.
Ditanya sama ada kegiatan GISBH di negara ini lumpuh sepenuhnya, Razarudin berkata, GISBH adalah organisasi terancang yang bergiat lama dalam memanipulasi ahli dari sudut ideologi, pemesongan akidah dan eksploitasi golongan rentan terutama kanak-kanak serta wanita.
Kata beliau, organisasi berkenaan menjadikan pengikutnya mempunyai ketaksuban yang tinggi terhadap pemimpin dan ajaran sesat dibawa.
Justeru itu, katanya, usaha untuk melumpuhkan kegiatan kumpulan itu memerlukan pendekatan dan tindakan komprehensif serta berterusan pihak berkepentingan.
“Kerajaan sudah mengambil tindakan agresif dengan mewujudkan satu jawatankuasa bertindak membabitkan pelbagai agensi yang diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha memastikan aktiviti kumpulan berkenaan lumpuh sepenuhnya.
“Ia sama ada kegiatan yang menyalahi undang-undang jenayah mahupun menyalahi undang-undang syariah termasuk usaha pemulihan ahli dan mangsa yang diselamatkan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.