comscore
Tumpuan :
Nasional

1,020 banduan hukuman mati, sepanjang hayat boleh fail semakan hukuman

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kesemua 1,020 banduan yang telah dikenakan hukuman mati mandatori dan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat boleh memfailkan permohonan di mahkamah untuk membuat semakan kepada hukuman masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia susulan penguatkuasaan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 [Akta 847] pada esok.

“Jemaah Menteri pada 30 Ogos lalu telah bersetuju dengan mekanisme pengendalian prosiding mahkamah berhubung dengan semakan hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat yang telah dicadangkan hasil daripada pelbagai sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan.

“Ini termasuk Jabatan Peguam Negara, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPM), Jabatan Penjara Malaysia, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Majlis Peguam Malaysia, Sabah Law Society (SLS) dan Advocates Association of Sarawak (AAS) bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, keutamaan kepada pelaksanaan mekanisme berkenaan merangkumi faktor seperti umur banduan, tahap kesihatan dan tempoh pemenjaraan banduan serta pertimbangan lain.

Mengulas lanjut, banduan yang dikenakan hukuman mati dan tidak berkemampuan untuk melantik peguam bagi mewakili mereka dalam proses semakan hukuman tersebut boleh mendapatkan khidmat guaman melalui peguam yang dilantik oleh mahkamah (Court Assigned Counsel).

Bagi banduan yang dikenakan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat, mereka boleh mendapatkan khidmat guaman daripada YBGK.

Azalina berkata, kedua-dua perkhidmatan bantuan guaman yang ditawarkan itu mencerminkan keutamaan dan pendirian kerajaan dalam memastikan keadilan diberikan kepada semua rakyat Malaysia.

“Penguatkuasaan Akta 847 melalui mekanisme yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri turut mencerminkan komitmen yang tinggi oleh kerajaan dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia sejagat. Hal ini membuktikan bahawa prinsip ‘restorative justice’ dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia adalah sentiasa terpelihara.

“Malahan, ini juga membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan untuk memberi peluang kedua kepada banduan yang dikenakan hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat untuk kembali kepada masyarakat dan keluarga serta meneruskan kelangsungan hidup mereka sebagai rakyat biasa,” katanya.

Untuk rekod, tiada lagi hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat di Malaysia berikutan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 [Akta 846] yang berkuat kuasa 4 Julai lalu.

Loading...
Terkini