PUTRAJAYA: Seramai 10,109 daripada 373,974 calon Sijil Pelajaran Malaysia SPM 2022 memperoleh keputusan cemerlang dengan mendapat semua A.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata jumlah calon cemerlang itu meningkat 2.7 peratus berbanding 9,696 orang pada SPM 2021.
Katanya seramai 75,322 calon atau 20.1 peratus pula memperoleh keputusan sekurang-kurangnya kepujian.
Jelas beliau bagi calon mendapat keputusan lulus, ia membabitkan seramai 128,193 atau 34.3 peratus, manakala 126,793 calon atau 33.9 peratus pula sekurang-kurangnya gagal satu mata pelajaran.
“Daripada jumlah calon yang menduduki peperiksaan itu juga, seramai 32,118 bersamaan 8.6 peratus memperoleh keputusan kombinasi gred dan 0.4 peratus atau 1,439 calon memperoleh keputusan semua gagal,” katanya pada Majlis Pengumuman Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2022 di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata, Prestasi Gred Purata Nasional (GPN) SPM 2022 menunjukan penurunan, iaitu 4.74 berbanding 4.86 bagi SPM 2021.