Tumpuan :
Nasional

100,000 rakyat Sabah bakal terima bantuan RM300 sebulan menerusi SYUKUR – Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. Foto Fail NSTP

KOTA KINABALU: Sebanyak 100,000 orang rakyat Sabah bakal menerima manfaat Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) menerusi pemberian bantuan tunai sebanyak RM300 sebulan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata program terbabit menyediakan bantuan tunai setiap bulan kepada penerima yang layak sehingga 31 Disember ini.

Katanya, penerima bagi program ini membabitkan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih setakat 31 Disember tahun lalu.

“Amaun pembayaran bagi program ini akan dibayar secara berfasa dengan setiap fasa adalah di bayar secara “lump-sum” bagi tempoh tiga bulan iaitu sebanyak RM900 yang akan dikreditkan ke akaun kepada mereka yang mempunyai akaun dan kepada penerima bantuan secara tunai.

“Antara objektif SYUKUR ialah untuk meringankan beban kewangan penerima bagi memenuhi keperluan asas mereka; menyokong golongan yang memerlukan agar dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa.

“Selain itu, mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah menerusi bantuan berterusan; dan sebagai tanda prihatin dan kasih kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.

Bagi pembayaran fasa pertama (Januari sehingga Mac 2025) diagihkan bermula Februari, manakala fasa kedua (April sehingga Jun 2025), diagihkan bermula April; fasa ketiga (Julai sehingga September 2025) diagihkan bermula September 2025 dan fasa keempat (Oktober sehingga Disember 2025) diagihkan pada Oktober 2025.

Hajiji dijadual melancarkan Program SYUKUR hari ini di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, Tuaran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini