Oleh: Nurul Amalina Zainudin
PUTRAJAYA: Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama 13 agensi Hal Ehwal Agama Islam, dimeriahkan dengan kehadiran 10,000 orang.
Majlis yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Presint 3 itu turut menyaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, menyampaikan sumbangan duit raya kepada 120 asnaf serta sumbangan kepada sembilan buah pondok.
“Penganjuran program seperti ini adalah manifestasi nyata daripada ajaran Islam yang mendorong umatnya untuk hidup dalam suasana penuh kasih sayang, saling menghormati dan membantu antara satu sama lain.
“Selain itu, program ini menjadi wadah terbaik untuk menyantuni golongan ilmuwan dan agamawan yang hadir, serta masyarakat khususnya golongan asnaf,” ujar Na’im.
Beliau berkata, program itu secara tidak langsung dapat memupuk perasaan muhibah dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
“Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mengajar kita menghargai dan mensyukuri setiap nikmat yang diberikan,” tambahnya.
Majlis turut diserikan dengan ceramah oleh Timbalan Mufti Pahang, Datuk Badli Shah Alauddin, bertajuk ‘Ramadan Pemacu Ummah MADANI’ serta persembahan kumpulan nasyid terkenal, Rabbani.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.