KUALA TERENGGANU: Sebanyak 1,000 ekor ikan siakap yang dijual pada harga 90 sen seekor, habis dalam tempoh tidak sampai sejam.
Harga istimewa itu ditawarkan pemilik kedai, Sauffian Sauji, 36, sempena pembukaan ‘Ikang Flyover’ cawangan keempat di Kuala Ibai hari ini.
Menurut Sauffian, inisiatif itu diambil bukan semata-mata mahu mempromosikan kedainya tetapi mahu membantu masyarakat setempat selain beramal.
Katanya, selain sebanyak 6,000kg ikan siakap dengan berat antara 300-400 gram seekor, pihaknya turut menjual pelbagai jenis ikan lain termasuk udang dan sotong yang dianggarkan seberat 30,000kg.
“Ikan siakap berharga 90 sen seekor dijual untuk 1,000 ekor yang pertama dengan setiap orang boleh membeli enam ekor sahaja dan selepas itu ia dijual dengan harga RM10 untuk tiga ekor.
“Sambutan memang menggalakkan apabila orang ramai sudah berada di kedai seawal jam 6 pagi walaupun kedai sepatutnya beroperasi jam 8 pagi dan kita berterima kasih serta terharu dengan sokongan diberikan,” katanya ditemui di kedainya di Kuala Ibai di sini hari ini.
Sauffian berkata, bekalan ikan diperoleh dari seluruh negara dan ikan siakap itu biasanya dijual dengan dengan harga RM5 seekor pada hari biasa.
Selain cawangan keempat di Kuala Ibai di sini, tiga lain kedainya berada di Kampung Tualang, Manir; Flyover Durian Burung dan Kampung Gong Kiat, Padang Midin.
Sementara itu, pesara kerajaan, Ismail Ngah, 67, memuji inisiatif peniaga terbabit apabila menjual dengan harga yang lebih murah dalam keadaan harga barang yang tinggi ketika ini.
“Saya datang ke sini jam 8 pagi dan ketika itu pun, orang sudah ramai menunggu tetapi Alhamdulillah, dapat juga beli bekalan ikan untuk seminggu dan memang berbaloi.
“Walaupun hanya hari ini ia dijual dengan harga promosi tetapi ia tetap menguntungkan pembeli,” katanya.