Tumpuan :
Nasional

1,000 bakal pesara bomba sertai latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan percuma

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berucap pada majlis menandatangani Nota Kerjasama antara Institut Keselamatan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Bilik Taklimat Parlimen, hari ini.- FOTO: FB KESUMA

KUALA LUMPUR: Seramai 1,000 bakal pesara bomba akan mengikuti program latihan dan persijilan secara percuma dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

Program dirangka Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu dilaksanakan menerusi kerjasama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh NIOSH melalui dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.

“Inisiatif ini adalah satu bentuk penghargaan kepada wira-wira JBPM yang berkhidmat penuh dedikasi melindungi rakyat dan negara.

“Dengan adanya latihan berstruktur dan persijilan yang diiktiraf, bakal pesara bomba kini berpeluang menambah nilai dan sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas bersara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani dan Pertukaran Nota Kerjasama antara NIOSH dan JBPM yang berlangsung di Bangunan Utama Parlimen, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Pengarah Eksekutif NIOSH, Datuk Ayop Salleh dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.

Antara kursus yang ditawarkan di bawah inisiatif program itu adalah “Train The Trainer” (TTT) bagi melatih peserta menjadi jurulatih profesional yang berkelayakan untuk mengendalikan kursus berkaitan KKP dan Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (“OSH Coordinator”/OSH-C) yang memberi kemahiran dalam mengenal pasti risiko, menjalankan audit serta menyelaras program keselamatan di tempat kerja.

Turut ditawarkan adalah kursus ‘Lead Auditor’ iaitu sistem pengurusan yang membolehkan peserta menjalankan audit sistem pengurusan KKP mengikut standard antarabangsa.

Steven berkata, walaupun NIOSH dan JBPM berada di bawah kementerian berbeza, kedua-dua agensi terbabit berganding bahu dalam usaha membela kebajikan pekerja sektor awam termasuk pegawai dan anggota bomba yang bakal bersara.

“Selain kemahiran teknikal, program ini turut menyentuh aspek pembangunan ilmu dan kesejahteraan sosial, memastikan setiap peserta bersedia menghadapi cabaran baharu selepas bersara,” katanya.

Sementara itu, Kor Ming berkata, program berkenaan bukan sahaja meluaskan peluang kerjaya kepada pesara bomba, malah membolehkan mereka untuk terus menyumbang kepada keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

“Ia melalui peranan sebagai jurulatih bertauliah, “OSH Coordinator” dan juruaudit luar.

“Pengalaman yang dimiliki semasa berkhidmat sebagai anggota bomba, digabungkan dengan sijil profesional ini, menjadikan mereka aset berharga kepada industri,” katanya.

Kedua menteri berkenaan berharap Nota Kerjasama antara NIOSH dan JBPM itu akan menjadi titik permulaan untuk memperkasa komuniti pesara bomba serta mendukung matlamat pembangunan modal insan negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini