Tumpuan :
Nasional

100 tahun berkhidmat, kereta api funikular Bukit Bendera sudah bawa 47 juta pengunjung

Foto NSTP Perkhidmatan kereta api funikular Bukit Bendera yang menjadi antara mercu tanda Pulau Pinang, bakal meraikan sambutan ke-100 tahun.

GEORGE TOWN: Perkhidmatan kereta api funikular Bukit Bendera yang menjadi antara mercu tanda Pulau Pinang, bakal meraikan sambutan ke-100 tahun tidak lama lagi dan kejayaannya membawa lebih 47 juta pengunjung sepanjang tempoh tersebut.

Pembukaan funikular Bukit Bendera pada 21 Okt 1923, bukan sahaja memudahkan orang ramai khususnya pekerja dan penduduk setempat bergerak, malah kereta api ikonik itu telah membawa jutaan pengunjung dari dalam dan luar negara ke puncak Bukit Bendera, antara destinasi pelancongan popular di negeri ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata perkhidmatan kereta api itu telah membawa 1.48 juta pengunjung pada tahun ini dan koc kereta api yang digunakan kini adalah generasi ketiga yang telah melakukan lebih daripada 275,000 perjalanan dengan jarak lebih 550,000 kilometer (km) sejak seabad lepas.

“Walaupun koc funikular telah berubah secara fizikal dari generasi pertama kepada generasi ketiga, tetapi warisan sejarah dan nilai sosioekonomi serta kepentingannya masih kekal, sesuai dengan statusnya sebagai antara ikon sejarah Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sempena meraikan sambutan itu, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) membalut kedua-dua koc funikular generasi ketiga tersebut dengan pelekat logo sambutan berserta slogan ‘100 Tahun Transformasi’ dan grafik.

Chow yang juga Pengerusi PBBPP berkata tindakan membalut koc funikular dengan mesej sambutan ke-100 tahun itu, bagi menarik minat pengunjung untuk sama-sama mengingati dan meraikan detik bersejarah tersebut.

Katanya sempena sambutan itu juga, PBBPP akan menganjurkan beberapa aktiviti seperti pameran, pelancaran buku, video dokumentari, peraduan media sosial, promosi oleh penyewa gerai dan serta pengeluaran barangan edisi khas.

Menurutnya perbadanan itu turut memperkenalkan tiket laluan cepat kereta api funikular Bukit Bendera edisi khas yang boleh dijadikan koleksi memperingati sambutan ulang tahun ke-100 tahun.

“Banyak lagi kejutan dan aktiviti menarik telah disusun sepanjang tahun ini dan semua acara itu menjanjikan lebih banyak kenangan serta pengalaman seperti Penang Hill Festival, Penang Hill Heritage Forest Challenge dan Trash Free Hill,” katanya.

Sementara itu, PBBPP dalam kenyataan yang sama memaklumkan perkhidmatan kereta api funikular Bukit Bendera itu dibina dan disiapkan seorang jurutera Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Arnold Robert Johnson pada 1923.

Menurut PBBPP kereta api funikular buatan Eropah itu dikatakan yang pertama digunakan di Asia Tenggara dan masih kekal sehingga ke hari ini, serta pernah membawa ramai tetamu kenamaan termasuk mendiang Ratu Elizabeth II, Maharaja dan Permaisuri Jepun serta Putera Kemboja.

Sebelum funikular itu siap dibina, untuk naik ke Bukit Bendera menjadi cabaran buat masyarakat di kawasan tersebut yang terpaksa berjalan kaki mendaki dan menggunakan tunggangan kuda atau doolies.

— BERNAMA

Loading...
Terkini