Tumpuan :
Nasional

100 pengantin dirai di Dataran Merdeka

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar bersama Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar beramah mesra bersama 100 pasangan pengantin yang diraikan pada majlis Walimatul Urus Perdana di Dataran Merdeka. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Seramai 100 pasangan pengantin yang terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan mualaf melahirkan rasa kesyukuran apabila dirai secara besar-besaran sempena Walimatul Urus Perdana anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Program julung kali diadakan oleh MAIWP itu begitu meriah kerana bukan saja dihadiri tetamu kehormat dan sanak saudara pasangan pengantin, malah orang ramai termasuk pelancong asing yang tertarik dengan budaya perkahwinan bertemakan ‘Nostalgia Adat Istiadat Kegemilangan Melayu Islam’ yang berlangsung di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Menariknya, 100 pasangan pengantin diarak menaiki Hop on Hop Off KL mengelilingi Jalan Raja Laut sehingga ke tapak karnival di Dataran Merdeka dan mereka juga disandingkan atas pelamin yang disediakan.

Acara itu turut dimeriahkan lagi apabila dua pasangan pengantin dinikahkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail secara langsung disaksikan ratusan pengunjung.

Pengantin yang terpilih diijab kabul pada Walimatul Urus Perdana, Ahmad Danish Faqih Abdullah, 22, berkata, dia dan pasangannya, Rosaslinah Dator, 25 amat bersyukur terpilih untuk diraikan.

“Rasa lega, terharu semuanya berjalan lancar dan saya bersyukur sudah sah menjadi suami isteri. Hari bersejarah ini tidak akan saya lupakan dan kami berterima kasih dengan MAIWP yang memberi peluang seumpama ini.

“Hari ini juga keluarga saya dan isteri turut hadir meraikan kami. Paling seronok semua persiapan pernikahan kami ditaja,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya bagaimana boleh terpilih menyertai Walimatul Urus Perdana, Ahmad Danish berkata, pada mulanya dia ke pejabat agama untuk memohon pernikahan menggunakan wali hakim memandangkan isterinya yang berasal dari Sabah itu seorang mualaf.

“Kami berkenalan ketika bekerja di pasar raya di Gombak dan selepas mendapat restu keluarga, kami membuat keputusan untuk ke fasa perkahwinan dan menjalani semua prosedur untuk berkahwin.

“Ketika di pejabat agama, ada pegawai yang berkongsi mengenai program Walimatul Urus Perdana dan menawarkan kami untuk menyertainya.

“Tak sangka pula akan terpilih, kami bersyukur sangat dan Alhamdulillah semuanya dipermudahkan,” katanya.

Pengantin, Muhammad Mustakim Siow Abdullah, 38, dia juga melahirkan rasa gembira kerana terpilih sebagai pasangan pengantin yang ditaja dan dirai di majlis Walimatul Urus Perdana.

“Wang yang akan diterima itu saya akan buat sebagai simpanan kecemasan dan perbelanjaan bersama isteri.

“Saya dalam kategori orang kelainan upaya (OKU) penglihatan, jadi dengan bantuan yang diberikan MAIWP ini sedikit sebanyak boleh digunakan untuk kehidupan kami sebagai suami isteri,” katanya.

Selain itu, setiap pasangan pengantin turut menerima wang tunai RM2,000 dan sepersalinan pakaian pengantin berserta perhiasan.

Skim bantuan perkahwinan ini juga adalah salah satu skim bantuan zakat daripada 30 skim bantuan yang ditawarkan MAIWP.

Bantuan ini diperkenalkan sejak 2006 bertujuan meringankan beban bakal pengantin dalam mengadakan majlis walimatul urus dan bantuan yang disalurkan berjumlah antara RM3,000 sehingga RM5,000.

Pada 2022, MAIWP sudah membantu sebanyak 412 penerima membabitkan perbelanjaan sebanyak RM1.08 juta. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini