
Oleh: Kumaran Rajamoney
IPOH: Sumbangan dan pengorbanan wira negara yang berjuang mempertahankan keamananan dari ancaman komunis menerima pengiktirafan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, peringkat negeri Perak di sini hari ini.
Sepuluh wira negara terdiri dari veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpilih untuk menerima anugerah.
Sub Inspektor Mustafa Zainal terharu dengan pengiktirafan ini, dan menyifatkan perjuangan mempertahankan kemerdekaan merupakan suatu usaha yang sukar.
Dirinya terpaksa berhadapan kecederaan tembus pipi kanan akibat terkena serpihan bom tangan yang dilemparkan oleh komunis semasa pertempuran dalam Ops Catfish di Ulu Kuang, Sungai Siput pada tahun 1981.
“Kalau sekarang terdapat pelbagai teknologi yang membantu mengesan musuh, namun dahulu kami hanya berpandukan kepada kemahiran diperolehi dari kursus dan latihan.”
“Justeru, generasi muda perlu faham bahawa merdeka bukan hanya bermakna kita bebas tetapi kebebasan itu perlu diperkukuhkan. Kita perlu mengabaikan apa jua perkara remeh yang akan menggugat ketenteraman dan keselamatan negara,” katanya.

Sarjan Nordin Mat pula mendapat kecederaan di pelipat siku tangan kiri kerana serpihan besi kelopak dan mengalami kecacatan ketika bertempur dengan pengganas komunis dalam Ops Bamboo pada tahun 1973 di Gerik.
“Harapan saya adalah agar kita tidak dipecah belah mengikut sentimen politik. Saya mahu masyarakat Melayu, Cina dan India semuanya dirangkum menjadi masyarakat yang baik, majmuk.”

Anugerah disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Terdahulu, sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak 2024 diadakan meriah di pekarangan Dewan Bandaran Ipoh di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dengan dihadiri lebih 30,000 rakyat negeri itu.
Sambutan yang diserikan dengan perarakan 108 kontijen yang disertai lebih 6,000 peserta terdiri pelbagai agensi dan kerajaan tempatan, pasukan beruniform universiti awam, badan berkanun dan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.