comscore
Tumpuan :
Nasional

10 warga Myanmar ditahan, cuba masuk Malaysia guna laluan haram

Foto: NSTP

ALOR SETAR: Seramai 10 pendatang tanpa izin warga Myanmar ditahan ketika cuba memasuki negara ini di kawasan kebun getah dekat sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, petang semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan hari ini memaklumkan,semua yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 21 hingga 49 tahun.

“Pada 21 Jun 2024 pukul 3.40 petang, pasukan beroperasi yang sedang melaksanakan rondaan mengesan dan menahan sekumpulan orang awam dalam keadaan mencurigakan di kawasan kebun getah di sempadan Malaysia-Thailand.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 10 warga Myanmar itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan cuba masuk ke Malaysia melalui laluan haram di sempadan,” katanya.

Foto: NSTP

Turut dirampas enam unit telefon bimbit, 12 beg, satu pasport palsu dan wang tunai dalam mata wang Thailand dan Myanmar dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM3,326.23.

Menurut kenyataan itu, semua pendatang itu diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

“Pasukan beroperasi akan terus memastikan keselamatan sempadan negara daripada aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya kemasukan pendatang tanpa izin,” katanya.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini