PUTRAJAYA: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menyerahkan memorandum ke pejabat Perdana Menteri (PMO) pagi ini.
Seramai 10 wakil dilihat memasuki pejabat PMO pada jam 10 pagi bagi menyerahkan memorandum diketuai Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Ahmad.
Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon penyerahan memorandum membabitkan lebih 1,000 pesawah di Putrajaya ditunda ke tarikh lain susulan lawatan Presiden Prabowo Subianto ke negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya menghormati hasrat PeSAWAH mengunjungi PMO, namun tarikh berkenaan bertindih dengan lawatan pemimpin Indonesia itu.
Perhimpunan lebih 1,000 pesawah dari seluruh negara yang dijadualkan di sini, hari ini, akan diteruskan ke lokasi baharu di pekarangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) susulan lawatan rasmi Prabowo ke Malaysia.
Dalam pada itu, PeSAWAH dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya kesal kerana lawatan itu tidak dimaklumkan kepada mereka sedangkan urusan surat menyurat dan makluman berkenaan kunjungan sudah lama dikemukakan.
Tinjauan di luar bangunan PMO mendapati tiada peserta PeSAWAH berhimpun di kawasan ini.
Sementara itu di luar bangunan PMO polis turut menempatkan beberapa anggota termasuk penguat kuasa Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi mengawal keselamatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.