comscore
Tumpuan :
Nasional

Pembantu rumah warga Filipina kepada Agong dan kerabat diraja Pahang rebut peluang jumpa Presiden Marcos

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Pembantu-pembantu rumah warganegara Filipina kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan kerabat diraja Pahang merebut peluang bergambar dan beramah mesra dengan Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr dalam kunjungannya ke Istana Negara.

Sesi berlangsung ‘tanpa dirancang’ dan berlaku ketika kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Mereka jelas agak terperanjat apabila disambut mesra oleh Marcos dan isteri Louise Araneta-Marcos.

Marcos diberi sambutan negara sempena lawatan sulungnya ke Malaysia selama tiga hari bermula semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri kabinet turut hadir dalam Kunjungan Mengadap oleh Marcos ini.

Istiadat sambutan di padang kawad sebelum itu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Filipina dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, disusuli tembakan meriam 21 das.

Beliau kemudian memeriksa kawalan kehormat membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja Kem Wardieburn.

Marcos bersama Al-Sultan Abdullah kemudian menanam pokok Melinjau (Gnetum Gnemon) di halaman istana, dengan disaksikan Tunku Azizah, Araneta-Marcos, Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah.

Marcos juga diraikan dan diberi penghormatan pada Majlis Jamuan Negara.

Loading...
Terkini