KUALA LUMPUR: Sekolah Seni Malaysia Perak berjaya mengharumkan nama negara di 31st International Competition & Festival of Folklore, Dance and Music ‘Etoiles de Paris’ 2024 selepas memenangi dua kategori yang disertainya, semalam.
Guru Sekolah Seni Malaysia Perak, Mohd Helfie Abdul Rahman berkata, mereka berjaya memenangi tempat pertama bagi kategori Theatrical Art dan grand prix untuk kategori Folklore Group.
“Untuk persembahan pertama iaitu di bawah kategori Theatrical Art, kita telah mempersembahkan teater Mek Mulung Lakhon Dewa Kaca yang berdurasi 10 minit.
“Sementara bagi persembahan kedua di bawah Folklore Group, kita telah mempertaruhkan persembahan kombinasi dabus dan silat untuk memperkenalkan kesenian negeri Perak.
“Kedua-dua kategori ini disertai oleh 10 pelajar yang sama,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Pemenang bagi setiap kategori itu membawa pulang trofi dan sijil penyertaan.
Mohd Helfie yang juga jurulatih seni teater berkata, pelajarnya mengambil masa selama sebulan untuk mempersiapkan diri menyertai dua pertandingan berkenaan.
Katanya, Sekolah Seni Malaysia Perak juga merupakan satu-satunya peserta dari Asia yang menyertai pertandingan itu.
“Pertandingan ini disertai seramai 500 peserta dari seluruh dunia. Ia melibatkan pelbagai kategori dan kita satu-satunya peserta Asia,” katanya.
Menurutnya, ia juga penyertaan pertama oleh Sekolah Seni Malaysia Perak di pertandingan yang sudah dianjurkan sebanyak 31 kali.
“Insya Allah kalau masih diberikan kepercayaan oleh Bahagian Sukan, Kesenian dan Kurikulum (BSKK) dan diberi dana atau pihak sekolah memberi peluang, kita akan menyertainya lagi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.