KUALA TERENGGANU: Belum pun reda dengan banjir sehingga menyebabkan lebih 10,000 mangsa telah terjejas kini penduduk di Terengganu terpaksa berdepan dengan fenomena air pasang besar.
Fenomena itu menyebabkan lebih 10 buah kampung di sekitar Kuala Terengganu dinaiki air kira-kira 0.5 meter.
Antara kampung terjejas ialah Kampung Losong Haji Su, Kuala Hiliran, Hiliran Jejawi, Losong Masjid, Chabang Tiga serta beberapa buah kampung di sekitar Pulau Duyong.
Menurut penduduk telah dua malam berturut-turut kediaman serta premis perniagaan mereka termasuk kedai keropok di sekitar Kampung Losong telah dilimpahi.
Tambah mereka lazimnya air yang melimpah ini akan kembali surut selepas dua hingga tiga jam namun malam tadi lebih tujuh jam paras air berkenaan masih bertahan.
Menurut Noor Azli Md Nor, 42 tahun, penduduk di kampungnya, Kampung Hiliran Jejawi setakat ini telah ada yang berpindah berikutan air yang mencecah lantai rumah.
“Kalau besar juga macam hari ni adalah pindah ni pun ada dah 2, 3 keluarga yang pindah ada juga yang tak nak pindah takut air besar, barang barang tak sempat pindah”
Manakala Abdul Halim Ariffin, 46 tahun berkata fenomena air pasang besar kali ini yang tinggi disebabkan pertembungan air hulu dan air laut “ Air pasang air sungai air hulu bila masuk dia bertembung jadi lambat lah sikit nak surut
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed mengingatkan penduduk agar sentiasa peka dan patuh dengan arahan untuk berpindah.
“Masyarakat kita disini bila air naik bergembira kerana boleh main air tetapi dalam masa sama hati-hati kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku terutama pada anak-anak kecil kena sentiasa awasi mereka bimbang kalau berlaku sesuatu yang tidak diingini” katanya yang ditemui ketika melawat Kampung Hiliran Jejawi yang dinaki air akibat air pasang besar.
Fenomena air pasang besar yang melanda menyebabkan lebih 100 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Seramai 103 mangsa membabitkan 25 keluarga telah dipindahkan ke SK Sri Nilam manakala a 30 lagi mangsa ditempatkan di Dewan Sivik Pulau Duyong.