Tumpuan :
Nasional

PRU:15 10 jalan ditutup bagi penamaan calon di Shah Alam, Kota Raja, Kuala Langat dan Kapar

Foto hiasan

SHAH ALAM: Sebanyak 10 jalan di Shah Alam, Klang Utara dan Kuala Langat akan ditutup bagi memastikan aliran trafik lancar pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 PRU-15, esok.

Enam jalan membabitkan Parlimen Shah Alam dan Kota Raja.

Tiga bagi Parlimen Kuala Langat serta satu jalan melibatkan Parlimen Kapar (Klang Utara).

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, sebanyak enam jalan akan ditutup dan dilencongkan untuk kawalan keselamatan di pusat penamaan di Parlimen Shah Alam dan Kota Raja.

Katanya, penutupan semua laluan berkenaan bermula jam 10 malam ini hingga 5 petang esok.

“Laluan terlibat bagi kawasan Parlimen Shah Alam adalah Persiaran Jubli Perak dari arah Bulatan Jubli Perak menghala Bulatan Megawati yang membabitkan penutupan jalan di hadapan Dewan Teratai Seksyen 19.

“Selain itu, antara jalan lain yang terlibat adalah Jalan Gelora 19/46 sehingga Jalan 19/45; Jalan Nelayan A 19/A dan Jalan Nelayan 19/B manakala penutupan jalan bagi Parlimen Kota Raja membabitkan Jalan Sungai Terap 32/173 dan Jalan Kemuning Damai 32/151,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, bagi Parlimen Kapar, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner S Vijaya Rao memberitahu, Jalan Kota akan ditutup serta dilencongkan bermula jam 5 petang ini sehingga proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang selesai.

“Lokasi penutupan jalan melibatkan Jalan Kota dan laluan alternatif yang disediakan adalah melibatkan Jalan Bukit Jawa (belakang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan-Jalan Raya Barat),” jelasnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh pula memaklumkan, tiga jalan akan ditutup bermula jam 7.30 pagi esok sehingga selesai proses penamaan calon di Dewan Sri Jugra, Telok Datok.

“Jalan yang terlibat adalah Jalan Pegawai; Jalan Stadium dan Persimpangan Persimpangan Lampu Isyarat Mahkamah Telok Datok (dikhaskan bagi penyokong, bakal calon serta petugas).

“Selain itu, Jalan Klang-Banting berdekatan dengan lokasi penamaan calon juga akan ditutup separuh secara berperingkat bagi memberi laluan kepada penyokong untuk perarakan dan masuk ke lokasi penamaan calon.

“Justeru, pengguna jalan raya khususnya warga Kuala Langat adalah dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan memilih jalan alternatif lain untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan jalanraya semasa penutupan jalan dibuat,” katanya.

Loading...
Terkini