Tumpuan :
Bencana

10 jalan di Batu Pahat telah dibuka, hanya lima masih ditutup akibat banjir

Keadaan banjir di Kmapung Meranti Laut, Senggarang, Batu Pahat. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Hanya lima jalan di daerah Batu Pahat masih ditutup kepada semua jenis kenderaan akibat banjir sejak Rabu lalu.

Laluan terbabit ialah Jalan Parit Haji Arif / Sri Dayung berhampiran Jambatan Sri Dayung, Jalan Parit Jambi berhampiran Jambatan Parit Jambi; Jalan Yong Peng-Muar berhampiran Simpang Parit Jalil; Parit Besar berhampiran Simpang Parit Besar Panchor dan Parit Haji Arif berhampiran Klinik Kesihatan Sri Medan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu Pahat memaklumkan, semua jalan yang ditutup dinaiki air sehingga 0.8 meter.

“Sebanyak 10 jalan yang sebelum ini tidak boleh dilalui sudah dibuka kepada kenderaan berat sahaja, antaranya Jalan Paloh, Jalan Parit Warijo, Jalan Yong Peng-Muar berhampiran Klinik Kesihatan Parit Sulong.

“Selain itu, Jalan Sri Bengkal, Jalan Parit Jalil, Jalan Olak Batu, Jalan Parit Karjo, Jalan Bindu, Jalan Panchor dan Jalan Parit Jalil,” menurut JKR Batu Pahat.

Lapan jalan yang sebelum ini terkesan banjir telah dibuka kepada semua kenderaan, antaranya Jalan Johor Bahru-Seremban berdekatan Kampung Ngamorto dan Jalan Yong Peng-Muar berhampiran Petron Parit Yaani.

Selain itu, Jalan Batu Pahat-Mersing berhampiran JPJ Timbang dan Jalan Batu Pahat-Mersing berhampiran Taman Universiti serta Jalan Tongkang Pechah.

Loading...
Terkini