Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menggariskan 10 fokus utama sebagai tunjang kepada Perutusan Tahun 2025.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian menerima peningkatan peruntukan sebanyak 7.08 peratus iaitu sebanyak RM21.13 bilion berbanding RM19.73 bilion.
“Peningkatan peruntukan ini sekaligus meletakkan kementerian berada dalam kelompok tiga kementerian yang memperoleh peruntukan tertinggi, selepas Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.
“Kesemua peruntukan ini bukan sahaja mesti dibelanjakan dengan telus, teratur dan berhemah, tetapi, ia mesti memberi impak yang bermakna kepada kementerian, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan seluruh warga kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2025 di Wisma Perwira di sini hari ini.
10 fokus yang digariskan beliau dalam ucapannya merangkumi:
1. Mencari dan menarik bakat terbaik.
2. Mengukuh keistimewaan dan kelebihan perkhidmatan ATM.
3. Memperoleh dan menambah aset serta keupayaan teknologi yang menjawab keperluan dan cabaran semasa.
4. Memperkukuh ekosistem kesejahteraan.
5. Membangunkan industri pertahanan tempatan yang kompetitif dan berdaya saing.
6. Merancakkan kajian, penyelidikan dan pengkomersialan inovasi pertahanan melalui Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).
7. Memperkemas dan melebar diplomasi pertahanan.
8. Mewujudkan masyarakat yang patriotik dan menghargai keamanan dan kedaulatan.
9. Menyatakan pandangan dari perspektif pertahanan agar negara berupaya membuat pendirian kritikal.
10. Merundingkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) secara strategik bagi memenuhi keperluan pertahanan negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.