ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan kesemua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata SPRM bagaimanapun belum menghubungi beliau untuk berbuat demikian.
Artikel berkaitan: Komplot bermula apabila stor kediaman rasmi saya dibom Oktober lalu – Sanusi
Katanya, sebahagian EXCO terbabit sudah memberi keterangan manakala sebahagian yang lain akan berbuat demikian dalam masa terdekat.
“Saya pun hairan, tak pernah lagi EXCO dipanggil setiap seorang untuk mengesahkan minit mesyuarat. Ada dalam kalangan mereka yang dah beri keterangan dan sebahagian lagi belum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah Bagi Tahun Kewangan 2022 dan 2023 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Sementara itu EXCO kerajaan negeri, Datuk Halimaton Shaadiah Saad yang memegang portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri ketika dihubungi mengesahkan yang beliau sudah dihubungi SPRM hari ini bagi mendapatkan keterangannya.
“Mungkin saya akan berbuat demikian esok. Mengapa saya dipanggil tak pastilah kerana belum bertemu mereka lagi,” katanya.
Pada 20 Julai lalu, SPRM mengesahkan sudah memanggil 12 saksi berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa dalam isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata semua saksi dipanggil itu sudah dirakam percakapan bagi membantu kertas siasatan.
Pihaknya juga menjangkakan akan ada lagi saksi dipanggil untuk dirakam percakapan termasuk Muhammad Sanusi.
Sehari sebelum itu, SPRM menahan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah bersama seorang pengarah wanita sebuah syarikat bagi membantu siasatan membabitkan nilai rasuah lebih RM13 juta.
Pada Isnin, seorang lagi pegawai kanan Menteri Besar Kedah ditahan anggota penguatkuasa SPRM selepas menahan seorang pembantu kepada pemilik syarikat, menjadikan keseluruhan tangkapan kini seramai empat orang.