![](https://media.buletintv3.my/2025/02/GADUH.jpg)
JEMPOL: Kemalangan jalan raya di Taman ACBE, Bahau di sini, jam 10 malam semalam menjadi punca pertengkaran dua kumpulan sebelum 10 lelaki ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan di lokasi kemalangan.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, semua suspek berusia dari 21 hingga 43 tahun ditahan pada jam 11 malam hingga 3 pagi di tempat kejadian dan sekitar Bahau.
Katanya, polis yang menerima laporan mengenai kemalangan itu ke lokasi kejadian dan mendapati beberapa lelaki sedang bertengkar.
“Pertengkaran yang mencetuskan pergaduhan itu membabitkan dua kumpulan sehingga menyebabkan tiga mangsa diserang menggunakan topi keledar.
“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jempol bagi menerima rawatan dan keadaan dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hoo berkata kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Sebelum itu tular di media sosial pergaduhan beberapa orang lelaki termasuk ada yang dipukul dalam kejadian yang didakwa berlaku di Bahau.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.