comscore
Tumpuan :
Nasional

10 ADUN angkat sumpah sebagai EXCO Kerajaan Negeri Terengganu

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA TERENGGANU: 10 EXCO kerajaan negeri Terengganu turut mengangkat sumpah hari ini termasuklah seorang ADUN daripada BERSATU.

Daripada 10 EXCO itu, empat adalah muka baharu iaitu Datuk Razali Idris (Kijal), Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Buruk), Maliaman Kassim (Ajil) dan Hishamuddin Abdul Karim (Tepoh).

Maliaman, Hishamuddin dan Muhammad Khalill sebelum ini adalah Timbalan EXCO Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi; Timbalan EXCO Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta Timbalan EXCO Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran.

Enam EXCO lain ialah ADUN Paka, Datuk Satiful Bahari Mamat; Dr Azman Ibrahim (Jabi); Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam); Ariffin Deraman (Alor Limbat); Hanafiah Mat (Chukai) dan Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (Kota Putera).

Dua lagi EXCO digugurkan iaitu Dr Mamad Puteh (Kuala Berang) dan Datuk Mohd Nor Hamzah (Bukit  Payung) manakala dua lagi iaitu Datuk Dr Alias Razak (Bukit Tunggal) dan Tengku Hassan Tengku Omar (Ladang) masing-masing tidak bertanding pada PRN kali ini.

Pelantikan itu selaras dengan Syarat (1) Perkara 10 Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang dibaca bersama perenggan (a) di bawah Syarat (2) Perkara 14.

Dengan pelantikan itu, Ahmad Samsuri bersama 10 EXCO dilantik akan memulakan tugas di Wisma Darul Iman esok.

Pada PRN Sabtu lalu, PAS kekal mentadbir kerajaan negeri selepas menyapu bersih ke semua 32 kerusi DUN Terengganu.

Loading...
Terkini