comscore
Tumpuan :
Nasional

1 RAMD sertai Istiadat Pertabalan Raja Charles III

Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) menyertai perbarisan pertabalan Raja Charles III di London, United Kingdom (UK) semalam.

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberi penghormatan menyertai perbarisan bersama pasukan negara Komanwel sempena Istiadat Pertabalan Raja Britain, Raja Charles III di London, United Kingdom (UK), semalam.

Kontinjen ATM yang diwakili Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) menyertai perbarisan sekitar 8 pagi waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia) pada istiadat pertabalan berkenaan.

Pasukan perbarisan itu diketuai Mejar Nurul Fauzan Md Sabri mula menjalani latihan perbarisan pada 28 April hingga 4 Mei lalu.

Sementara itu, Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat memaklumkan istiadat pertabalan berkenaan menyaksikan gabungan menarik antara adat tradisi berusia hampir 1,000 tahun lalu dengan upacara moden yang menggambarkan pelbagai kepercayaan dan budaya di Britain.

“Kontinjen 1 RAMD yang berlepas pada 27 April lalu menjalani latihan dan raptai membabitkan dua pegawai dan 10 anggota lain-lain pangkat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Raja Charles III yang ditabalkan di Westminster Abbey London dalam upacara pertabalan penuh istiadat dikendalikan Uskup Agung Canterbury, Justin Welby serta disaksikan jutaan masyarakat dunia.

Laungan God Save the King kedengaran di sekitar biara selepas Mahkota St Edward yang diperbuat daripada emas padu dimahkotakan ke atas Charles oleh Welby.

Ia adalah pertabalan pertama Britain sejak 70 tahun lalu dan diadakan selepas lapan bulan kemangkatan Ratu Elizabeth II pada usia 96 tahun.

Istiadat itu akan menghimpunkan kira-kira 100 ketua negara, raja dan permaisuri dari seluruh dunia, selain selebriti.

Loading...
Terkini