Oleh: Zahir Senapiah
TANGKAK: Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Gerisik, dekat sini, pagi tadi bagi menempatkan 33 mangsa dari sembilan keluarga selepas rumah mereka dilanda banjir.
PPS Bukit Rahmat dibuka jam 10.15 pagi tadi bagi menempatkan mangsa dari Kampung Parit Bengkok yang dinaiki air hingga 0.5 meter.
Ia adalah PPS kedua di Johor selepas di Segamat apabila Johor menerima luruhan hujan melebihi kadar biasa sejak semalam.
Menurut kenyataan Bilik Gerakan Bencana Johor, hujan yang berterusan turut menjejaskan beberapa daerah lain termasuk Johor Bahru, Mersing dan Kluang.
Namun hingga petang ini tiada PPS dibuka kecuali Tangkak.
Dalam pada itu, pertembungan hujan lebat dan air pasang besar menyebabkan puluhan rumah di Kampung Pasir dekat Tampoi dinaiki air hingga 0.4 meter.
Tinjauan mendapati anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat membantu memindahkan mangsa ke kawasan yang selamat.
Penduduk mendakwa rumah pam kolam takungan banjir di kampung berkenaan yang rosak menyebabkan banjir kerap kali berulang terutama ketika musim tengkujuh.
Sementara itu menurut Jabatan Kerja Raya Daerah Kluang, beberapa jalan turut dinaiki air menyebabkan laluan di jalan persimpangan Kahang Timur hanya dibuka bagi kenderaan berat manakala jalan PPNJ dibuka satu lorong.
Tiga sungai iaitu Sungai Muar di Segamat dan Sungai Kesang di Tangkak melepasi paras bahaya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.