Tumpuan :
Nasional

1 maut, 3 cedera nahas dua kenderaan di Jalan Kelawat

Anggota bomba membantu mengeluarkan pemandu Toyota Hilux yang tersepit. – FOTO: Ihsan bomba

KOTA BELUD: Seorang maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kelawat, di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 8 malam menyebabkan lelaki berusia 58 tahun yang memandu pacuan empat roda disahkan meninggal dunia selepas tersepit dalam kenderaan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Syazwan Latun, berkata sepasukan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 8.05 malam.

“Kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang bertembung lori lapan tan.

“Empat mangsa dilapor terbabit termasuk seorang tersepit di dalam Toyota Hilux,” katanya ketika dihubungi.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa tersepit yang kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala tiga lagi mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini