BUTTERWORTH: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengarahkan penutupan keseluruhan kawasan di sebuah kilang di Perai, di sini, selepas seorang pekerja maut dan seorang kritikal, manakala enam lagi dalam pemantauan akibat terhidu gas beracun daripada bahan kimia berbahaya.
Pejabat Pengarah JKKP negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan, siasatan awal mendapati insiden membabitkan pekerja dari syarikat kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja fumigasi kawalan makhluk perosak yang bertujuan menghapuskan serangga di kilang terbabit selama lapan hari bermula 21 hingga 28 Januari lalu, yang keseluruhannya lapan pekerja ditugaskan bagi kerja berkenaan.
“Namun, seorang pekerja dilaporkan kembali semula ke lokasi fumigasi dijalankan pada 29 Januari (Rabu) bersama seorang lagi rakannya untuk mengambil bacaan gas di salah sebuah bangunan di kilang terbabit.
“Mereka berdua kemudian dilaporkan muntah dan sesak nafas serta pengsan selepas meninggalkan premis itu dan segera dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan.
“Bagaimanapun, seorang mangsa disahkan meninggal dunia di hospital pada 30 Januari (Khamis), manakala seorang lagi mangsa masih dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU),” katanya.
Menurutnya, doktor yang merawat kedua-dua mangsa juga mengalami sesak nafas dan sakit tekak selepas membuat rawatan bantuan pernafasan (CPR) terhadap mangsa.
“Dalam insiden itu, enam lagi pekerja yang mengalami simptom awal pendedahan kepada gas beracun sudah dibenarkan pulang ke rumah tetapi masih di bawah pemantauan.
“Susulan kejadian ini, arahan penutupan keseluruhan kawasan lokasi fumigasi di kilang itu serta notis larangan penggunaan bahan kimia berbahaya iaitu Methyl Bromide dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.
Katanya, JKKP turut mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada jabatan.
“Kita akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi semua saksi yang dikenal pasti.
“Lawatan susulan ke premis majikan akan dijalankan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil.
“Tindakan perundangan mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.