comscore
Tumpuan :
Nasional

1 maut, 1 cedera diserang gajah di Felda Tenggaroh 5

FOTO: ADUN Tenggaroh

JOHOR BAHRU: Seorang maut, manakala seorang lagi cedera akibat diserang gajah di kawasan belakang Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Tenggaroh di Felda Tenggaroh 5, Mersing, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K Raven Kumar berkata, pengurus Felda berkenaan menerima maklumat berhubung kehadiran gajah di kawasan belakang sekolah berkenaan pada jam 8.30 pagi tadi,

Beliau berkata, pengurus berkenaan turut menyalurkan maklumat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi tindakan lanjut serta memaklumkan penduduk agar tidak mengganggu haiwan berkenaan atau mendekati kawasan itu.

Katanya, bagaimanapun pada jam 11.30 pagi, pengurus Felda itu terima panggilan mengatakan terdapat dua individu diserang dan dipijak gajah.

“Difahamkan mangsa yang maut dan cedera dipercayai mendekati gajah bagi tujuan menghalaunya dengan membawa kayu.

“Kami berdukacita dengan kejadian itu dan menggesa Perhilitan mengambil tindakan sesuai dengan segera bagi menangani isu gajah berkeliaran di kawasan perumahan,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini gajah juga pernah dilihat berkeliaran di beberapa kawasan agak jauh daripada lokasi kejadian.

Menurutnya, pihaknya juga menasihati orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya terserempak dengan haiwan berkenaan.

“Mereka sepatutnya menjauhi haiwan itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Raven berkata, menerusi pemantauan dron, gajah berkenaan bergerak ke kawasan lain.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, pihaknya telah menerima maklumat berkaitan kejadian berkenaan.

“Perhilitan akan mendapatkan maklumat,” katanya

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini