Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-4 tahun ini (ME 4/2023) sepanjang tempoh 22 hingga 28 Januari lalu menurun 17.6 peratus atau 409 kes iaitu kepada 1,910 berbanding 2,319 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu kematian akibat komplikasi demam denggi turut direkodkan.
“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 8,968 kes berbanding 2,948 kes bagi tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 6,020 kes (204.2 peratus), manakala sebanyak empat kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding tiada kematian bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 79 lokaliti hotspot dilaporkan pada ME 4/2023 berbanding 80 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya, iaitu 51 lokaliti hotspot berada di Selangor, 14 lokaliti hotspot di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Sabah (12) dan Pulau Pinang (2).
Selain itu, survelan chikungunya merekodkan sebanyak lima kes pada minggu ke-4 dengan tiga kes dari Pulau Pinang dan masing-masing satu kes dari Kedah serta Selangor.
“Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 52 kes. Bagi survelan zika, sebanyak 169 sampel darah dan satu sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Malaysia adalah sebuah negara dengan penduduk pelbagai etnik, agama dan budaya yang mana terdapat pelbagai sambutan perayaan keagamaan dan kebudayaan yang dirayakan bersama.
Beliau berkata, banyak kelengkapan dan peralatan digunakan semasa musim perayaan yang dapat menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes jika tidak diuruskan dengan baik.
“Oleh itu, pastikan kebersihan tempat upacara dan sambutan dijaga dengan baik. Lupuskan barang yang rosak serta tidak digunakan di tempat kitar semula atau tempat pelupusan yang telah disediakan. Lakukan semburan aerosol sebelum melakukan aktiviti.
“Pakai pakaian yang berwarna cerah serta menutup anggota badan semasa menjalankan aktiviti di luar rumah pada waktu puncak gigitan nyamuk Aedes iaitu pukul 6 hingga 8 pagi dan pukul 6 petang hingga 8 malam.
“Selain itu, gunakan bahan repelan nyamuk pada anggota badan yang terdedah. Cegah denggi sebelum terkena. Selamat menyambut perayaan Thaipusam dan Cap Goh Mei. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika,” katanya.