Oleh Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya satu daripada sepuluh kanak-kanak di negara ini berdepan masalah penglihatan serius sehingga berisiko mengalami kebutaan.
Bukan sahaja menjejaskan pembelajaran di sekolah, masalah ini juga memberi kesan kepada aktiviti sukan dan hobi anak-anak.
Biarpun masalah rabun di kalangan murid boleh berpunca dari keturunan dan genetik, namun kebanyakan faktornya adalah daripada gaya hidup.
Mengulas isu ini, Pakar Ophthalmologi Paediatrik, Dr. Norazah Abdul Rahman berkata kerap menggunakan gajet pada jarak dekat untuk jangka masa yang panjang, membuatkan anak-anak cenderung untuk mendapatkan masalah rabun, seawal usia 5 tahun.
“Kebanyakan ibu bapa yang sibuk, mereka berikan anak mereka digital babysitter, kerana anak akan lebih senyap bila diberikan gajet, kita lihat komunikasi tu juga akan terjejas di kalangan keluarga kerana anak-anak terlalu taksub dengan gajet yang ada,” jelasnya.
Bermula lebih awal, tahap rabun akan bertambah seiring dengan usia.
Ini akan menjejaskan kualiti kehidupan anak-anak, kerana peluang untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang disukai, akan terbatas.
Apa yang membimbangkan Presiden Majlis Permuafakatan Persattuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, tahap kerabunan yang tinggi atau high myopia menyebabkan anak-anak berisiko menjadi buta pada usia yang lebih muda.
“Ingat masa depan dia, masa depan dia bergantung kepada kita, kalau kita tak kawal penggunaan gajet, komputer, tentunya pembangunan dari segi mata mereka akan kabur dan perlu dipulihkan,” kongsinya.
Program pembetulan ketajaman penglihatan mata inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini dilihat sebagai usaha yang baik dalam mengenalpasti murid-murid yang bermasalah penglihatan.
Pakar Kesihatan Pekerjaan dan Kesihatan Am, Dr. Hanafiah Bashirun turut berkongsi, guru dan ibu bapa juga boleh memainkan peranan dalam membuat pengesanan awal masalah rabun anak melalui prestasi akademik anak-anak.
“Kita nampak prestasi anak di sekolah semakin merosot sebab dia duduk di row tengah atau belakang, dia dah tak nampak apa cikgu tulis, bila dah tak nampak, dia tak mengadu, dia hilang fokus, hilang minat,” katanya.
Bagi mencegah masalah ini, ibu bapa juga digalakkan membawa anak-anak untuk pemeriksaan mata secara berkala, seawal usia empat tahun
Anak-anak turut disaran melakukan aktiviti luar rumah sekurang-kurangnya dua jam sehari.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.