SERDANG : Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia menampilkan 48 koleksi baharu fesyen batik bersempena kempen ‘Ini Batik Malaysia’ dengan kombinasi teknik konvensional dan alternatif menggunakan bahan semula jadi dan bersifat mesra alam.
Bermatlamat memartabatkan batik supaya menjadi pilihan seluruh keluarga Malaysia, Kraftangan Malaysia terus berevolusi melalui kajian inovasi yang dilaksanakan melalui pereka dalamannya dalam usaha menarik minat segenap lapisan masyarakat.
Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, ‘Ainu Sham Ramli, berkata acara Peragaan Fesyen Batik Malaysia yang diadakan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022) yang semalam, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) mengadaptasikan konsep Agrotourism dengan penghasilannya menggunakan tumbuh-tumbuhan dan tanah.
“Rekaan diperagakan adalah hasil kajian inovasi yang dijalankan tahun lalu dengan kesemua pakaian disiapkan pada tahun ini oleh pereka dalaman Kraftangan Malaysia.
“Ia dibuat khas sempena kempen ‘Ini Batik Malaysia’ yang bermula pada 1 Julai lalu dan kesinambungan daripada pengisytiharan Hari Batik Malaysia yang akan disambut pada 3 Disember setiap tahun,” katanya.
Peragaan fesyen kali ini mengetengahkan lima koleksi utama iaitu dua daripadanya bermotifkan identiti seni dan budaya masyarakat Malaysia menerusi batik terap dan batik canting, manakala tiga lagi adalah berasaskan motif kontemporari.
“Tiga jenis batik alternatif ditampilkan pada kali ini adalah batik cetakan kreatif (ecoprint), iaitu salah satu cara penghasilan reka corak secara semula jadi daripada daun dan bunga menggunakan teknik gulungan atau ketukan supaya warna dan kesan yang terhasil diserap pada permukaan kain.
“Kedua, batik clay atau tanah liat dan ketiga, batik linut diperbuat daripada kanji sagu, ia bersifat mesra alam dan menjadi pengganti lilin batik sedia ada,” katanya.
Pada acara peragaan itu, pelbagai koleksi rekaan fesyen sedia dipakai atau Ready To Wear (RTW) ditampilkan dengan mengetengahkan fesyen segar dan kontemporari, dengan elemen keaslian batik terus dikekalkan.
Turut menarik perhatian adalah kombinasi warna yang diketengahkan dengan kebanyakannya mengaplikasikan warna lembut sekali gus memperlihatkan rekaannya lebih santai, anggun dan sesuai digayakan untuk acara sama ada formal atau tidak rasmi.
Turut ditampilkan dalam koleksi ini adalah aksesori untuk lelaki dan wanita iaitu tas tangan dengan pelbagai rekaan terkini. – Berita Harian