![](https://media.buletintv3.my/2023/08/ZAHID.jpg)
Oleh : Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUPR: Barisan pasukan pembelaan mewakili Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon supaya Peguam Negara menyegerakan keputusan representasi bagi mengkaji 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dihadapi Timbalan Perdana Menteri itu.
Menurut kenyataan media bersama oleh peguam Datuk Hisham Teh Poh Teik, Datuk Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh, keputusan representasi yang dihantar pihaknya pada 8 Disember 2022 dan 25 Januari 2023 perlu disegerakan sebelum pihaknya memanggil lebih ramai saksi dalam perbicaraan kes itu.
Melalui kenyataan itu, mereka juga sepakat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang memprejudiskan hak Presiden UMNO itu dalam mengemukakan representasi berkenaan.
Tambah kenyataan itu lagi, mana-mana pihak tidak seharusnya menggunakan fakta representasi itu untuk kepentingan politik atau menakut-nakutkan orang ramai dengan memberi sangkaan buruk terhadap representasi berkenaan.
![](https://media.buletintv3.my/2023/08/ZAHID-HAMIDI.jpg)
Menurutnya, proses representasi itu adalah bersandarkan kepada hak anak guam mereka dan turut dibenarkan dalam sistem perundangan yang diamalkan di negara ini.
“Ia adalah perkara biasa untuk mengemukakan representasi kepada Peguam Negara bagi mana-mana orang yang berhadapan dengan kes jenayah dan adalah menjadi hak seseorang yang dituduh untuk melakukannya.”
“Representasi boleh dikemukakan pada bila-bila masa, dan di dalam mana-mana peringkat sekiranya seseorang yang dituduh mempunyai asas yang kuat dan terdapat banyak kepincangan di dalam pertuduhan termasuk jika terdapat salah guna kuasa terhadap pendakwaan, isu siasatan, keterangan saksi dan sebagainya,” kata kenyataan itu lagi.
Seramai 15 saksi termasuk Ahmad Zahid telah tampil memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu setakat ini.