Tumpuan :
Mahkamah

Zaharif meronta kesakitan, darah keluar dari hidung – Kakak

Pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, dibawa ke Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi menghadiri perbicaraan hari ke-11 kes bunuh pelajar 17 tahun, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie. – FOTO NSTP

IPOH: Kakak kepada Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dia melakukan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) ke atas adiknya selepas mangsa dilanggar Perodua Ativa dalam kejadian Disember tahun lalu.

Nur Zawanie, 29, yang berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, berkata dia melakukan CPR selepas memeriksa denyutan nadi pada tangan kanan Zaharif semakin lemah dan anak mata mangsa ‘dilated’ iaitu melebar.

Saksi pendakwaan ke-20 prosiding perbicaraan kes pegawai kanan polis didakwa membunuh Zaharif itu berkata, bantuan CPR dilakukan bertujuan membantu pengaliran darah ke organ untuk mengelak berlaku ‘kematian otak’ dan kegagalan organ.

“Tekanan dada (menerusi CPR) dilakukan di luar dada untuk membantu darah keluar daripada injap jantung untuk dibekalkan ke seluruh badan.

“Ketika itu jantung dah terhenti, tekanan (menerusi CPR) membantu pengaliran darah dan tekanan dada itu boleh bantu mengelak daripada ‘brain death’ dan organ badan kehilangan darah,” katanya.

Dia berkata demikian ketika diminta memberi keterangan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz dalam pemeriksaan utama di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet.

Terdahulu, Nur Zawanie berkata, semasa tiba di tempat kejadian, dia melihat Zaharif meronta-ronta kesakitan dan terdapat darah keluar dari hidung adiknya.

Ketika ditanya Afzainizam berkenaan sebab darah itu keluar dari hidung mangsa, jururawat itu berkata ia mungkin berpunca kecederaan pada bahagian dalaman badan mangsa.

“Jika ada pendarahan banyak di dalam badan, darah akan keluar dari hidung dan telinga,” katanya pada hari ke-11 prosiding perbicaraan kes itu.

Nur Zawanie berkata, dia mempunyai latar belakang pendidikan perubatan hasil tiga tahun menuntut di Institut Kejururawatan Kementerian Kesihatan, sebelum bertugas di hospital swasta selama dua tahun dan hospital kerajaan selama tiga tahun.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela M Athimulan, wanita itu memaklumkan dia melakukan CPR terhadap Zaharif selama dua minit, sebelum diganti dua pembantu pegawai perubatan (MA) yang hadir secara bergilir-gilir.

“Selepas 20 minit CPR dilakukan ke atas Zahariff, MA hospital mengisytiharkan Zaharif ‘no pulse’ (tiada nadi). Saya juga nampak pada ‘cardiac monitor’ (monitor jantung) bahawa Zaharif tiada nadi lagi.

“Sepanjang saya di sisi Zaharif sehinggalah dia meninggal dunia, saya tidak tahu bila pelaku meninggalkan tempat kejadian mahupun dengar kereta Ativa putih itu bergerak, saya hanya fokus kepada keadaan Zaharif sahaja,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Zaharif di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari 15 Disember 2023.

Pegawai kanan polis itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Selain Afzainizam, pasukan pendakwaan dibarisi Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui, manakala tertuduh diwakili peguam Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Prosiding perbicaraan bersambung sebelah petang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini