PETALING JAYA:Penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman diarah membela diri atas tiga pertuduhan kes dadah.
Hakim, Faiz Dziyauddin, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes mereka.
“Selepas meneliti keterangan secara penilaian maksimum, pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, oleh itu tertuduh dipanggil membela diri bagi ketiga-tiga pertuduhan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, didakwa memberikan dirinya dadah di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam, 24 Mac tahun lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Penyanyi itu juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, jam 5.30 petang, pada tarikh sama.
Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup serta tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Yasin ketika ditemui sebelum prosiding bermula berkata, dia mengharapkan doa daripada orang ramai atas keputusan hari ini.
“Doakan saya, terima kasih kerana datang,” katanya.
Yasin yang memakai baju kemeja berwarna hitam dan kelihatan ceria, dibawa oleh pihak polis ke mahkamah sempat menyapa pengamal media yang berada di luar mahkamah sejak jam 1 tengah hari.
Mahkamah kemudian bersambung mendengar keterangan bela diri Yasin petang ini.